KUALA LUMPUR, 2 Dis – Fokus…. Perhimpunan Agung UMNO 2016 menampilkan kelainan dengan memfokuskan kepada hal berhubung wala’, insitusi presiden dan Transformasi Nasional 2050 (TN50), kata Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid, yang menjalankan tugas timbalan presiden parti, berkata
pandangan itu berdasarkan pemerhatian beliau sendiri, malahan turut diakui
pengamal media dan pemerhati luar.

“Dalam aspek wala’, setiap pemimpin mempunyai ujian tersendiri dan yang
berjaya semestinya mempunyai daya tahan untuk menghadapi ribut politik dan terus
taat kepada parti,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada jamuan malam bersama Menteri Besar
Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir bersempena Perhimpunan Agung Umno 2016 malam ini.

Ahmad Zahid yang juga timbalan perdana menteri turut menegaskan prinsip
kesetiaan untuk mempertahankan institusi presiden juga akan membentuk
kebersamaan yang menyumbang kepada kekuatan organisasi.

Turut disentuh Ahmad Zahid dalam ucapannya adalah TN50 yang diberi tumpuan untuk perhimpunan kali ini sebagai tanda keprihatinan kepimpinan masa kini
terhadap masa depan generasi akan datang.

“Saya berharap Ketua Pemuda dan Puteri UMNO Perak akan bertemu dengan
pemimpin pelajar untuk mendengar pendapat mereka apa yang dikehendaki untuk 30 tahun akan datang kerana mereka sahaja yang memahami apa yang dimahukan,” kata Ahmad Zahid. – WD MY