ALOR GAJAH, 14 April -MANIFESTO……. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi malam ini melancarkan Manifesto Barisan Nasional (BN) negeri Melaka yang mempunyai 62 inisiatif demi kesejahteraan rakyat negeri ini.

Timbalan Pengerusi BN itu turut mengumumkan tiga inisiatif tambahan iaitu sambungan lebuh raya persisir Kuala Linggi-Masjid Tanah-Klebang-Teluk Mas hingga ke Banting, Selangor; 50,000 peluang pekerjaan baharu dalam lima tahun dan litar motosikal untuk anak muda.

“Saudara saudari apabila tiga inisiatif tambahan ini saya cadangkan atas kapasiti TPM (Timbalan Perdana Menteri) maka bantulah kerajaan di bawah panji BN menang besar di Melaka.

“Manifesto ini bukan janji atas kertas, tapi janji dikota ,” katanya ketika berucap melancarkan manifesto negeri bertemakan ‘Bersama Mencipta Kegemilangan’ bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di Dataran Keris, malam tadi.​​​​​​​

Ahmad Zahid berkata lebuh raya pesisir Kuala Linggi-Masjid Tanah-Klebang-Teluk Mas yang disambung hingga ke Banting, Selangor itu bukan sahaja memberi kemudahan pengangkutan terbaik kepada rakyat tetapi mampu berfungsi sebagai pemangkin kepada pembangunan kawasan sekitarnya.

Di samping itu, katanya, ia dapat menawarkan laluan alternatif yang boleh mengurangkan kesesakan lalu lintas serta pembangunan industri yang dapat menarik pelabur asing.

Beliau berkata kemajuan yang dicapai itu bakal mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tenmpatan di mana inisiatif 50,000 peluang pekerjaan baharu dapat direalisasikan dengan pantas.

Katanya, kerajaan sentiasa komited dalam mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk anak muda dan akan berusaha menambah lebih ramai pekerja mahir dalam kalangan anak tempatan. – WD MY