SHAH ALAM, 19 Nov – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan mewujudkan tiga jawatankuasa kerja yang memberi lebih fokus kepada usaha menjayakan Pelan Tindakan Pemerkasaan Ibu Tunggal bertujuan meringankan permasalahan dihadapi golongan itu di negara ini.

Menurut Timbalan Menterinya, Datuk Azizah Mohd Dun berkata tiga jawatankuasa itu
berasaskan kepada tiga aspek utama pelan tindakan tersebut, iaitu pemerkasaan
ekonomi, sosial serta penyelidikan dan penyelarasan.

“Jawatankuasa kerja ini akan beri lebih fokus dan berbincang lebih dalam
berhubung pelan tindakan ini dengan melihat kepada tiga aspek utama tersebut.

“Contohnya, aspek pemerkasaan ekonomi akan melibatkan agensi berkaitan
seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara), Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN
Nasional), Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan Kementerian Kewangan.

“Saya yakin pelan tindakan ini akan berjaya kerana komitmen yang diberikan
mereka (agensi berkaitan) sangat tinggi,” katanya kepada media selepas
merasmikan Roadshow Pelan Tindakan Pemerkasaan Ibu Tunggal Peringkat Zon Tengah
di sini hari ini.

Mengulas mengenai jerayawara (roadshow) itu, Azizah berkata ia diadakan bagi
membolehkan kementerian mendekati kumpulan sasar iaitu ibu tunggal dan
berkongsikan aspirasi kerajaan untuk memastikan setiap langkah strategik dalam
pelan tindakan itu mencapai matlamatnya.

Beliau berkata Selangor dipilih sebagai lokasi pertama penganjuran program
itu memandangkan negeri tersebut mempunyai statistik ibu tunggal paling ramai di
negara ini iaitu 40,583 orang berdasarkan bancian 2010.

“Roadshow ini akan diteruskan pada tahun depan sepanjang Januari hingga Mei
dan akan dilaksanakan mengikut zon iaitu Zon Timur, Zon Selatan, Zon Utara, Zon
Sabah dan seterusnya Zon Sarawak,” katanya.-Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY