KUCHING, 11 Feb -MENANG…..  Datuk Julaihi Narawi memperoleh undi terbanyak, iaitu 770 undi dalam perebutan empat jawatan naib Yang Dipertua untuk sayap Bumiputera, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB).

Tiga calon lain yang turut menang jawatan itu pada pemilihan hari ini bagi penggal 2018-2020 ialah Menteri Muda Pendidikan dan Teknologi Penyelidikan, Dr Annuar Rapae yang mendapat 764 undi; Menteri Muda Elektrik dan Luar Bandar, Dr Abdul Rahman Junaidi (719 undi), dan Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Negeri, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah (698 undi).

Julaihi adalah penyandang jawatan berkenaan, manakala tiga yang lain muka baharu.

Tiga lagi calon yang kalah dalam pemilihan itu ialah Menteri Muda Pertanian, Abdul Rahman Ismail (585 undi); Menteri Muda Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh (481 undi), dan Menteri di Pejabat Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsmen), Datuk Talip Zulpilip (320 undi).

Pengerusi Tetap PBB, Datuk Amar Mohgamad Asfia Awang Nasar mengumuman keputusan pemilihan itu, lewat petang tadi.

Bagi sayap Pesaka, tiga yang dipilih tanpa bertanding jawatan Naib Yang Dipertua ialah Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom, Datuk Roland Sagah Wee Inn dan Datuk Gerawat Gala.

Hanya jawatan Naib Yang Dipertua sayap Bumiputera sahaja dipertandingkan pada pemilihan kali ini sempena perhimpunan agung ke-14 PBB yang berlangsung dari 9 hingga 11 Februari.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang sebelum ini Timbalan Yang Dipertua parti, dipilih tanpa bertanding dan disahkan hari ini sebagai Yang Dipertua parti.

Sementara itu, Datuk Amar Douglas Uggah Embas pula dipilih tanpa bertanding dan disahkan sebagai Yang Dipertua sayap Pesaka, manakala Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan sebagai Yang Dipertua sayap Bumiputera.

Kedua-duanya adalah Timbalan Ketua Menteri Sarawak.

Turut dipilih tanpa bertanding untuk jawatan Naib Yang Dipertua Kanan ialah Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof untuk sayap Bumiputera, dan Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak, Datuk Seri Michael Manyin Anak Jawong untuk sayap Pesaka.

Pelantikan untuk jawatan Setiausaha Agung, Bendahari dan Ketua Penerangan dijangka dibuat semasa mesyuarat exco pertama kelak.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah ialah Ketua Wanita mengambil alih daripada Tan Sri Empiang Jabu, manakala Gerald Rentap Jabu dipilih tanpa bertading sebagai Ketua Pemuda mengambil alih daripada Datuk Seri Fadillah Yusof. – WD MY