TANGKAK, 15 Julai – Berbeza….. Tindakan pembangkang meletakkan tiga nama sebagai pemimpin teratas dalam pakatan mereka boleh diumpamakan sebagai sebuah kapal tiga nakhoda yang bakal tenggelam kerana haluan berbeza, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

Beliau berkata rakyat  perlu menilai bagaimana sebuah pakatan mampu bergerak apabila setiap pemimpinnya mempunyai haluan sendiri tanpa adanya pemimpin utama.

“Lazim hukum akal, kapal yang ada tiga nakhoda akan terumbang ambing (kerana) ada yang mahu ke kanan dan ke kiri, (akhirnya) kapal akan tenggelam. Pakatan tiga nakhoda akan tenggelam di lautan politik.

“Kita bukan mahu mempertikaikan soal dalaman mereka, tetapi mahu rakyat analisis jika hala tuju berbeza ke mana haluan mereka. Lihat rekod kejayaan kita (Barisan Nasional) yang mampu membela rakyat hasil konsep perkongsian kuasa,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Ledang  di Kolej Kemahiran Tinggi Mara di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Ledang Datuk Hamim Samuri yang juga Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar dan kira-kira 800 anggota perwakilan bahagian itu. – WD MY