KUALA LUMPUR, 29 Sept – PARTI……. Kegagalan UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk berubah mengikut tuntutan zaman yang semakin mendesak merupakan antara tiga punca utama kejatuhan parti itu, kata Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Katanya struktur, budaya, dasar dan pemikiran politik UMNO dan BN berlandaskan citra kurun ke-20, sedangkan Malaysia jauh berada dalam kurun ke-21.

“Tetapi yang sangat mendukacitakan ialah UMNO tewas kerana ia telah kehilangan kepercayaan orang Melayu. Kepada sesetengah orang Melayu, UMNO telah ‘hilang kompas moral dan nilainya’,” katanya dalam ucapan perasmian sayap pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU 2018) malam tadi.

Mohamad berkata punca lain kegagalan UMNO adalah disebabkan modenisasi Malaysia yang telah melahirkan generasi Melayu yang tidak lagi mempunyai nilai dan hubungan sentimental dengan UMNO.

Selain itu, dampak globalisasi yang dipacu oleh kepesatan teknologi maklumat dan komunikasi telah melahirkan generasi baharu Malaysia iaitu generasi yang bukan sekadar mengangguk dan mengiyakan semua perkara atau ‘comfirmist’.

Justeru beliau mengingatkan anggota UMNO untuk bangkit semula dengan nilai, moral serta ideologi tuntas, serta melupakan nafsu untuk meraih kuasa.

“UMNO mesti kembali ke landasan lahiriahnya, kembali kepada ideologinya untuk membuah dan menciptakan kebaikan kepada bangsa Melayu,” katanya.

Menurutnya, UMNO juga perlu diposisikan semula dengan arus perubahan lokal, nasional dan global dengan mempunyai pelan dan strategi sebagai parti yang moden.

Mohamad juga mencadangkan ketiga-tiga pergerakan sayap untuk menggubal Pelan UMNO 2030 yang mengandungi hala tuju serta transformasi parti sebagai sebuah gerakan kebangkitan bangsa Melayu, selain strategi khusus untuk memenangi Pilihanraya Umum ke-15. – WD MY