BUKIT KAYU HITAM, 1 Jun – Didakwa….. Seramai tiga suspek utama sindiket pemerdagangan etnik Rohingya ke negara ini, dua tahun lalu yang kini berada dalam tahanan di Thailand akan didakwa di mahkamah di sini dalam masa terdekat ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata Malaysia sedang berusaha mendapatkan ekstradisi daripada Thailand melalui surat rasmi dikeluarkan Wisma Putra bagi tujuan membawa ketiga-tiga suspek utama itu ke negara ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, melalui risikan yang dilakukan pihaknya, ketiga-tiga suspek yang kini berada di penjara di Thailand itu adalah dalang utama ataupun ikan jerung dalam membawa pelarian Rohingya dari Myanmar sebelum transit di kem pelarian Wang Kelian, Perlis.

“Saya sudah mengadakan perbincangan dengan Timbalan Perdana Menteri Thailand merangkap Menteri Pertahanan (Jeneral Prawit Wongsuwon) melalui khidmat perundangan secara bersama dan mereka menyatakan bahawa tiga suspek itu kini berada di penjara di sana.

“Kita sedang berusaha mendapatkan ekstradisi dengan mengemukakan surat dari Wisma Putra kepada Kementerian Luar Thailand dan memenuhi beberapa syarat dikehendaki mereka termasuk dari segi teknikal.

“Saya jangkakan dalam masa terdekat ini mereka akan hantar tiga tahanan ke Malaysia bagi menghadapi pertuduhan di mahkamah,” katanya pada sidang media, di sini tadi.

Terdahulu, Ahmad Zahid bersama Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dan Timbalan Menteri Pertahanan yang juga Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Mohd Johari Baharum mengadakan lawatan ke tapak ICQS Bukit Kayu Hitam yang kini sedang dalam pembinaan.

Sebelum ini, Thailand bersetuju dengan permintaan Malaysia supaya mengekstradisi 10 warganya yang dipercayai menjadi dalang kes pemerdagangan manusia di sempadan kedua-dua negara.

Seramai 10 individu terbabit yang berusia dalam lingkungan antara 35 hingga 60 tahun, turut dikehendaki pihak berkuasa Malaysia kerana dikenal pasti terbabit dalam kes penemuan kubur besar di Wang Kelian, Perlis pada Mei tahun lalu. – WD MY