KUALA LUMPUR, DISEMBER 7: FAM..Tiket bagi aksi final pertama Piala AFF 2018 antara Malaysia bertemu Vietnam atau Filipina yang dijadualkan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa ini akan dijual secara atas talian mulai hari ini.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerusi kenyataan media yang dikeluarkan hari ini berkata, penyokong Harimau Malaya juga boleh membeli tiket secara dalam talian di www.tickethotline.com.my mulai jam 9 pagi esok.

Menurut Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam, penjualan tiket secara dalam talian untuk final pertama itu adalah sebanyak 40,000 keping dengan 20,000 keping akan dijual esok sehingga habis manakala 20,000 keping lagi akan dijual pada Sabtu bermula 9.00 pagi.

“Untuk jualan tiket secara fizikal pula akan bermula pada hari Ahad. Hal ini kerana tiket hanya akan mula dicetak di Bangkok, Thailand oleh syarikat tiket yang dilantik oleh Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) selepas keputusan satu lagi aksi Separuh Akhir 2, Vietnam lawan Filipina di Hanoi, malam ini diketahui

“Mengikut jadual, tiket yang telah siap dicetak itu nanti dijangka tiba di Kuala Lumpur pada Sabtu, 8 Disember 2018, sekali gus ia hanya boleh mula dijual secara fizikal pada pagi Ahad ini, itu pun jika tiada sebarang kelewatan penerimaan tiket berkenaan,” katanya.

Menurutnya, harga tiket ditetapkan pada RM40 bagi tempat duduk terbuka (RM10 lebih murah berbanding tiket Piala AFF 2014) dan RM5 bagi tiket kanak-kanak, sementara satu lagi kategori tiket yang diperkenalkan kali ini ialah tiket RM50 bagi tempat duduk grandstand.

“Bagaimanapun lokasi penjualannya baki 40,000 tiket ini akan dimaklumkan kemudian,” katanya.

FAM juga turut menyampaikan satu berita baik kepada penyokong Harimau Malaya yang berjaya hadir ke Stadium Rajamangala, Bangkok, semalam apabila bakal memberi keutamaan kepada mereka untuk mendapatkan tiket final nanti.

“Sila simpan keratan tiket separuh akhir dua bertemu Thailand malam tadi kerana FAM sedang berbincang untuk memberikan ‘keutamaan’ kepada anda semua dalam proses membeli tiket final satu ini. Nantikan pengumuman rasmi mengenainya,” jelas.

Perlawanan akhir kedua Piala AFF akan berlangsung di tempat lawan, sama ada di Hanoi atau Bacolod City pada Sabtu depan dan bagi penyokong yang berminat untuk pergi menyaksikan perlawanan berkenaan, FAM akan menguruskan urusan pembelian tiket dan maklumat lanjut mengenainya akan dimaklumkan kemudian.,- MY WD