MELAKA, 14 Dis – Meninggal Dunia ……. Timbalan Ketua Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis
Kontinjen (IPK) Melaka Supt Mohd Senu Mohd Nor meninggal dunia selepas selesai
bermain badminton di gelanggang IPK di sini, malam tadi.
Menurut Ketua Polis Melaka Datuk Ramli Din, mangsa berusia 49 tahun yang
tidak sedarkan diri selepas rebah dikejarkan ke Hospital Melaka untuk
mendapatkan rawatan, namun disahkan meninggal dunia kira-kira 8 malam.
Beliau berkata mangsa sebelum itu dilaporkan sedang berehat selepas selesai
bermain badminton pada 6.20 petang sebelum rebah.
“Allahyarham baru dua bulan bertugas di IPK Melaka dan sebelum ini merupakan
Ketua Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda, Kedah.
“Allahyarham telah berkhidmat selama 28 tahun dan saya mengenali arwah sejak
beliau berkhidmat di IPK dua bulan lepas, dan beliau merupakan pegawai yang
rajin dan komited terhadap tugas,” katanya ketika ditemui media di
perkarangan bilik mayat Hospital Melaka.
Beliau berkata Mohd Senu yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan merupakan
seorang yang pendiam tetapi mudah mesra dengan orang sekeliling.
Katanya, Allahyarham sebelum ini dilaporkan tidak mempunyai sebarang masalah
kesihatan atau mempunyai penyakit kronik dan punca kematian setakat ini disahkan
sebagai mati mengejut, sehingga proses bedah siasat selesai.
Ramli berkata Allahyarham meninggalkan seorang isteri yang merupakan seorang
guru Suraya Jusoh, 42, dan tiga anak berusia lima hingga 19 tahun.
Beliau berkata jenazah Mohd Senu akan dibawa pulang untuk dikebumikan di
kampung halamannya di Kampung Seribong di Pasir Tumboh, Kota Bharu malam ini.
“IPK Melaka akan membantu proses penghantaran jenazah Allahyarham ke Kota
Bharu pada malam ini, dan akan dibantu anggota polis di Kelantan,” katanya. – WD MY