KUALA LUMPUR, 19 NOV – MUDAH….. Polis boleh memeriksa telefon bimbit orang awam jika terdapat laporan ia digunakan bagi tujuan jenayah atau untuk menyebarkan perkara yang tidak benar.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman, menjelaskan laporan media bahawa polis mempunyai hak memeriksa telefon bimbit orang awam sewenang-wenangnya adalah tidak benar.

“Saya berkata pemeriksaan telefon terhadap orang awam boleh dibuat sekiranya terdapat laporan polis mengesyaki ia digunakan bagi menyebarkan perkara tidak betul dan bukannya pemeriksaan dibuat secara sewenang-wenangnya.

“Ia berdasarkan kepada Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 bagi memeriksa telefon bimbit seseorang semasa menjalankan siasatan dan semasa menjalankan tugas menjaga ketenteraman awam.

“Saya maksudkan polis juga boleh mengambil tindakan berdasarkan peruntukan Seksyen 103, 104 dan 106 Kanun Tatacara Jenayah, Akta 593,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Azis pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat semalam dilaporkan berkata, polis mempunyai hak untuk menyemak telefon bimbit orang awam untuk memastikan tiada sebarang bentuk komunikasi berunsur lucah, jelik, mengugut dan mengancam keselamatan orang lain dan negara.

Bagaimanapun, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, menegaskan polis tidak ada hak untuk memeriksa telefon bimbit orang awam kecuali terdapat aduan yang dibuat membabitkan telefon bimbit seseorang individu.

Mengulas lanjut, Mohd Azis berkata, apa yang dijelaskan bekas Ketua Polis Negara itu adalah benar dan selari dengan kenyataannya di Dewan Rakyat.

“Saya menasihatkan media supaya lebih berhati-hati bagi tidak memberi gambaran yang salah kepada masyarakat. Apa pun saya menghargai tugas dan peranan media dalam membantu menyalurkan maklumat kepada orang awam,” katanya. – WD MY