PETALING JAYA, NOVEMBER 26: 3G…Seorang pemimpin kumpulan sayap kanan Melayu yang gagal memberi keterangan kepada polis hari ini berhubung ucapan mengancam rusuhan ala 13 Mei 1969 terhadap penyokong DAP, akan berbuat demikian esok.

Timbalan Pengerusi Gagasan 3 (G3), Amran Ahmad Nor berkata beliau akan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya 6 petang hari ini untuk disoal siasat.

“Saya ada hal sedikit hari ini,” katanya.

Amran dilaporkan berkata, beliau dipanggil ke IPD Ampang Jaya 2 petang semalam. dipercayai berhubung ucapan dalam video viral yang dimuat naik ke Facebook.

G3 ditubuhkan 21 November lalu untuk menyatukan orang Islam Melayu dan menyalahkan pemimpin DAP yang didakwa menghakis hak Melayu di bawah kerajaan Pakatan Harapan, susulan perbincangan hangat berhubung Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Semalam Amran dalam satu kenyataan berjanji akan terus “mempertahan dan membela semua rakyat Malaysia, terutama orang Melayu daripada ancaman bangsa DAP”.

“Saya tidak bergurau atau sekadar cakap lepas apabila mengatakan ‘Hancurkan DAP sebelum bangsa DAP hancurkan bumi tercinta Malaysia’.

“Ini saya akan pertahankan biar 1 juta pun laporan polis dibuat ke atas saya,” kata bekas naib pengerusi Biro Buruh DAP itu yang dipecat kerana mengkritik parti itu sebelum pilihan raya umum ke-14.

“Kepada DAP, anda mungkin mahu menekan saya dan para sahabat G3, tetapi fahamilah semakin kami ditekan, bukan kami semakin lemah, tetapi kami akan lebih bersemangat untuk menghancurkan bangsa DAP.”

Beliau turut menggesa penyokongnya berkumpul di luar IPD Ampang Jaya untuk menunjukkan sokongan mereka.

Sementara itu, Penasihat G3, Datuk Azwanddin Hamzah dan Pengerusinya, Raggie Jessy Rithaudeen meninggalkan IPD Ampang Jaya 1 tengah hari tadi, selepas selesai memberi keterangan kepada polis.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Hamzah Alias berkata, kedua-duanya dipanggil untuk disoal siasat berhubung dakwaan ancaman 13 Mei, selepas pihaknya menerima satu laporan polis terhadap G3.

Katanya, ada laporan lain terhadap G3 yang dibuat di balai polis lain.

Jumaat lalu, polis dilaporkan berkata, beberapa kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 504, 505 serta 506 Kanun Keseksaan, selepas lebih 160 laporan diterima di seluruh negara berhubung kenyataan menyentuh sensitiviti agama serta perkauman di laman sosial.-MY WD