BANDAR HILIR, 4 Mac -Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tiba di sini untuk merasmikan Forum Antarabangsa Bandar Berdaya Tahan Menghadapi Keenam di Bandar Hilir.
Beliau tiba kira-kira jam 9 pagi diiringi Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron.
Ahmad Zahid kemudian merasmikan Persidangan Bandar Berdaya Tahan Asia Pasifik Kedua dan Konvensyen Antarabangsa Bandar Raya Berkembar Melaka ke-16 dan dijadual mengadakan perjumpaan bersama pemimpin Barisan Nasional (BN) negeri di hotel sama pada jam 11 pagi.
Tengah hari ini, beliau akan menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Hasanah Sungai Rambai, sebelum merasmikan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Sungai Rambai, Jasin pada jam 3 petang.
RTC kedua di Melaka bernilai RM2.5 juta selepas RTC Kuala Linggi di Alor Gajah itu dibangunkan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Rambai dan akan menjadi pusat pengumpulan hasil pertanian, perladangan, ternakan serta hasil laut untuk dipasarkan kepada penduduk setempat. – Suraya Ahmad (WD MY)