KUALA LUMPUR, 22 Okt – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri hadir merasmikan Dialog Keselamatan Antarabangsa Putrajaya ( PISD)

PISD kali pertama di adakan sempena GPEC 2015 bakal membincangkan kerjasama dalam membanteras jenayah rentas sempadan.

Ahmad Zahid berkata, negara Islam juga perlu meningkatkan kerjasama dengan negara bukan Islam bagi membetulkan persepsi salah negara itu terhadap Islam.

Bercakap pada sidang akhbar selepas merasmikan Dialog Keselamatan Antarabangsa Putrajaya yang julung kali diadakan di sini hari ini, beliau berkata negara bukan Islam mempunyai persepsi salah terhadap Islam disebabkan kelakuan sebilangan kecil orang Islam.

“Perbuatan segelintir yang menyalahtafsirkan Islam telah menyebabkan Islam itu tercalar,” katanya.

Timbalan perdana menteri berkata pemahaman dan kerjasama antarabangsa untuk memahami makna ajaran Islam harus diberi perhatian agar tidak berlaku lagi salah tanggapan terhadap Islam.

Sebagai contoh, kata Ahmad Zahid, Malaysia telah mengadakan beberapa perbincangan dengan pihak penguat kuasa China berhubung cara mengatasi Islamophobia di negara itu.

Beliau berkata Australia juga pernah menyuarakan hasrat untuk belajar daripada Malaysia tentang pendekatan yang digunakan berkaitan pemulihan terhadap golongan yang menjadi radikal.

Di dalam negara pula, katanya, Malaysia mewujudkan kerjasama rapat di kalangan agensi penguatkuasaan seperti polis, Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam di samping Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), untuk memerangi keganasan.

Katanya Kementerian Dalam Negeri juga mempunyai panel khas untuk melakukan pemulihan terhadap mereka yang diradikalkan, terdiri daripada polis, JAKIM, pakar psikologi dan ulamak bagi membetulkan kembali akidah mereka.

Selepas sahaja majlis perasmian berkenaan Ahmad Zahid menerima kunjungan hormat Menteri Imigresen dan Kawalan Sempadan Australia, Peter Dutton. – Suraya Ahmad (WD MY)

LEAVE A REPLY