KUALA LUMPUR, 8 Jan – TERDESAK…… Pemuda UMNO Sembrong menyifatkan Ahli Parlimen Kluang daripada DAP, Liew Chin Tong terdesak apabila mendakwa pembinaan kem tentera di Sembrong, Johor, bagi meningkatkan undi Barisan Nasional (BN) di kawasan itu.

Ketua Pemudanya, Onn Hafiz Ghazi, berkata tindakan Chin Tong melemparkan tuduhan tidak berasas itu kerana mahu memanipulasi keadaan dan bermotif jahat.

Walaupun beliau sudah meminta Chin Tong mendapatkan penjelasan bahawa tiada sebarang pergerakan atau perpindahan anggota tentera ke kawasan itu, namun Pengerusi DAP Johor itu masih enggan menghubunginya.

“Ini jelas menunjukkan tindakan terdesak ini adalah cubaan mengalih perhatian dan tuntutan rakyat mengenai peranan yang lebih diperlukan Chin Tong dan partinya.

“Masyarakat di Kluang juga tertanya-tanya, apakah peranan dan bantuan diberikan Chin Tong kepada pengundinya sendiri, selain hanya tahu bermain dengan spekulasi serta tuduhan berkaitan hal nasional berbanding berkhidmat di peringkat tempatan.

“Budaya ini tidak ubah sama seperti penasihat mereka iaitu Lim Kit siang di Gelang Patah yang hanya kelihatan ketika pilihan raya tetapi tidak kunjung tiba sewaktu rakyat memerlukan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, Onn Hafizi menggesa Chin Tong menyelesaikan masalah dalaman DAP dan buktikan kepada rakyat bahawa mereka pemimpin yang benar-benar layak berkhidmat kepada rakyat.

Beliau yang juga Setiausaha Politik Menteri Pertahanan berkata, DAP kini lebih dilihat sebagai boneka kepada Tun Dr Mahathir Mohamad dan ia mendapat tentangan hebat dalam kalangan ahlinya sendiri yang membawa kepada pergolakan dalaman.

Jika enggan berubah, beliau berkata, mereka selayaknya hanya menjadi ejen propaganda dan perpecahan dalam kalangan rakyat saja.- WD MY