KUALA LUMPUR, MAC 14 : TINDAKAN…Tindakan Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang dan Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail menulis surat memohon sokongan Ahli Parlimen Switzerland dalam isu didakwa ada kaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagai tidak berperlembagaan.

Ahli Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC), Datuk Shamsul Anuar Nasarah, berkata tindakan pemimpin terbabit juga tidak patriotik kerana lebih mempercayai ‘orang asing’ dan menolak setiap perkara dijelaskan agensi kerajaan yang terbabit dalam hal berkaitan 1MDB.

“Tindakan mereka tidak berperlembagaan dan tidak patriotik. Mereka secara bersungguh mahu terus memutar belitkan dan menokok tambah cerita isu 1MDB bagi meraih sokongan rakyat.

“Mereka akan menolak setiap perkara dijelaskan kerajaan, apatah lagi kalau tidak memihak kepada mereka. Bagaimanapun, jika memihak baru mereka akan percaya.

“Ini menampakkan mereka ketandusan isu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). Kebanyakan cerita diulang dan ditokok tambah tanpa fakta jelas dan benar,” katanya kepada NSTP, semalam.

Beliau mengulas tindakan Kit Siang dan Dr Wan Azizah menulis surat kepada 200 Ahli Parlimen Switzerland supaya menyokong usul menggesa kerajaan negara itu memulangkan wang berkaitan 1MDB yang dirampas kepada Malaysia.

Shamsul Anuar yang juga Ahli Parlimen Lenggong berkata, tindakan pembangkang ini hanya bersifat populis untuk menarik perhatian rakyat terutama menjelang PRU-14.

Sementara itu, Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa menempelak tindakan Kit Siang dan Dr Wan Azizah itu sambil mempersoalkan siapakah mereka berdua untuk menulis surat permohonan terbabit.

“Siapa mereka untuk minta (sokongan Ahli Parlimen Switzerland)? Mereka hanya bersandiwara menjelang PRU-14,” katanya.-MY WD