KOTA KINABALU, 6 Mac –  TUMPAS… Dua penjenayah tumpas di tangan orang awam yang bertindak pantas menahan suspek di kawasan awam di bandar raya ini.

Dalam kejadian terbaru kelmarin, seorang lelaki lelaki ditahan selepas cuba meragut beg tangan seorang wanita di hadapan sebuah kedai serbaneka di Kepayan Ridge, di sini.

Suspek berusia 30 tahun itu ditahan lelaki yang mengejarnya sejurus menyedari kejadian sebelum dibantu anggota polis yang kebetulan berada berhampiran.

Dalam kejadian jam 8.10 malam itu, beg tangan mangsa diragut suspek yang mengekorinya menyebabkan wanita terbabit terjatuh, namun suspek gagal mengambil beg tangan mangsa.

Ketua Polis Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra, berkata kejadian itu disedari seorang lelaki ketika berada dalam keretanya lalu mengejar suspek.

“Kira-kira 70 meter dari tempat kejadian, suspek dapat ditahan oleh orang awam dengan dibantu pegawai polis yang kebetulan berada di tempat kejadian.

“Pengadu (orang awam) cedera ringan di leher dan lengan kiri akibat bergelut dengan suspek manakala suspek diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Pengadu berusia 35 tahun dan anggota polis itu iaitu Asisten Superintendan Syahrin Ali yang juga Ketua Kereta Peronda Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu diberi surat penghargaan Ketua Polis Daerah atas keberanian mereka, semalam.

Suspek direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana meragut, Seksyen 25(1)(o) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara (PPPN) 1990 kerana memiliki kad pengenalan orang lain dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana positif dadah.

Pada 26 Februari lalu, seorang lelaki ditahan orang awam selepas cuba melarikan beg tangan seorang wanita di kawasan letak kenderaan belakang sebuah pusat beli-belah, di sini.

Dalam kejadian jam 8.15 malam itu, suspek berumur 28 tahun dihalang orang awam selepas cuba melarikan diri dengan sebuah kereta. – WD MY