KUALA LUMPUR, 29 Jan  TINDAKAN….. Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata tindakan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr Mahathir Mohamad mengadakan perjumpaan dengan duta negara Kesatuan Eropah (EU) disifatkan sebagai pemimpin yang tidak berpegang kepada prinsip.

Dr Mahathir ketika pentadbirannya dulu begitu sensitif apabila pembangkang mengadakan pertemuan dengan pihak luar.

“Dulu Dr Mahathir begitu sensitif apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan duta luar. Beliau menuduh sebagai kerjasama dan cuba campur tangan terhadap urusan negara.

“Sekarang, beliau sendiri yang melakukannya dan seperti lupa apa yang pernah diperkatakannya dulu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Penyerahan Unit Gerabak Kereta Api kepada Universiti Kuala Lumpur (UniKL) di UniKL Asia Rail Centre.

Ismail Sabri juga berkata, ketika Parlimen EU dalam usaha untuk menyekat kemasukan produk sawit ke pasaran Eropah menjelang 2021, Dr Mahathir juga haruslah lebih sensitif terhadap isu ini.

Katanya, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi juga sudah menegaskan supaya tindakan sama diambil terhadap EU sekiranya negara kesatuan terbabit mengambil tindakan boikot produk minyak sawit negara.

“Tindakan itu akan memberi kesan dan menjejaskan pekebun kecil dan peneroka FELDA. Jadi kita perlu bersatu dan bukannya mengambil tindakan yang bersifat kepentingan politik peribadi,” kata Ismail Sabri. – WD MY