JOHOR BAHRU, 30 Mac – TINGKATKAN….. Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, meminta pengundi di Parlimen Pulai untuk meningkatkan majoriti undi di kawasan itu.

Agmad Zahid mengingatkan rakyat di Parlimen Pulai untuk meningkatkan majoriti di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kempas dan merampas semula DUN Perling.

Pengundi kawasan itu diharap tidak mendengar cakap pembangkang kerana Ahli Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed, sudah memberikan perkhidmatan terbaik dan adil kepada seluruh masyarakat Pulai tanpa mengira bangsa serta agama.

“Kita tahu di Pulai ini kita peroleh undi menurun sedikit pada Pilihan Raya Umum lepas. Di Kempas (DUN) agak menurun, Perling kecundang.

“Saya minta seluruh pengundi Pulai naikkan majoriti Parlimen Pulai. Kita naikkan majoriti Kempas, kita rampas Perling,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata demikian ketika berucap pada program Himpunan Sukarelawan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Trust@Teras Johor malam tadi.

Ahmad Zahid berkata, kejayaan yang dibawa Nur Jazlan cukup luar biasa dengan membawa pelbagai projek berjumlah RM776.4 juta sejak pilihan raya umum lalu hingga kini.

“Kalau undi Pulai, Kempas (meningkat), Perling (rampas semula), ada sesuatu saya akan bisikkan pada Perdana Menteri,” tambahnya. -WD MY