PUTRAJAYA, 6 Mei – Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof
berkata lebih banyak usaha perlu dilakukan bagi meningkatkan pendidikan
profesional dan kualiti akreditasi arkitek dalam kalangan negara ASEAN bagi
memudahkan pergerakan kumpulan profesional itu dalam rantau ini.

Menurut beliau bagi pihak Malaysia, parlimennya baru-baru ini telah
meluluskan pindaan tiga akta berkaitan liberalisasi sektor perkhidmatan, iaitu
Akta Arkitek, Akta Pendaftaran Jurutera dan Akta Juru Ukur Bahan.

Fadillah berkata pindaaan itu bertujuan untuk meningkatkan standard
pendidikan profesional dan penyampaian perkhidmatan seni bina bagi melindungi
keselamatan awam dan membenarkan penyertaan asing.

“Saya gembira pelbagai inisiatif bersama telah dilaksanakan dalam kalangan
profesional ASEAN terutamanya menerusi Majlis Arkitek ASEAN dan Jawatankuasa
Penyelaras Jurutera Profesional Bertauliah ASEAN.

Bagaimanapun, saya percaya masih banyak yang boleh dilakukan, terutamanya
dalam pendidikan dan akreditasi kelayakan profesional itu, katanya dalam ucapan
di Majlis Makan Malam Arkitek ASEAN anjuran Lembaga Arkitek Malaysia, di sini
malam ini.

Tambah Fadillah, langkah berkenaan sejajar dengan pelaksanaan Komuniti
Ekonomi ASEAN menjelang hujung tahun ini yang bakal melibatkan liberalisasi
pergerakan barangan, perkhidmatan, pelaburan, tenaga kerja mahir dan modal dalam
kalangan 10 negara anggota terdiri daripada Indonesia, Singapura, Malaysia,
Thailand, Myanmar, Kemboja, Laos, Vietnam, Filipina dan Brunei.- Suraya Ahmad (WD MY)

LEAVE A REPLY