KUALA LUMPUR, DISEMBER 7: Bekas perdana menteri Najib Razak menyindir Pakatan Harapan (PH) kerana tidak mampu menunaikan janji mereka berdasarkan manifesto Pakatan Harapan (PH) berkaitan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Ia susulan pelaksanaan Potongan Gaji Berjadual (PGB) sebagai kaedah bayaran balik bagi pinjaman PTPTN seperti diumumkan pengerusi tabung itu, Wan Saiful Wan Jan.

“Asasnya, apa yang (Menteri Pendidikan) Maszlee Malik dan Wan Saiful perlu buat ialah kuatkuasakan perjanjian PTPTN bawah Kerajaan BN dahulu yang mengambil kira kemampuan

“Pada masa sama, galakkan sesiapa yang mampu dan ingin bayar lebih atau langsaikan pinjaman lebih awal dengan pelbagai insentif. Ini tidak.

“Lihatlah apa yang kerajaan PH hari ini buat. Yang konsisten bayar mengikut perjanjian pula dihukum dan dihukum teruk,” kata Najib melalui hantaran Facebooknya, semalam.

Kata Najib, jika PH tidak mampu menunaikan janji Pilihan Raya (PRU) lalu atau tidak mampu memberikan pendidikan percuma, mereka boleh meniru apa yang dibuat oleh pentadbiran BN dahulu.

“Kalau dah tak boleh tunai janji manifesto atau beri pendidikan percuma, sekurang-kurangnya copy and paste (salin tampal) apa BN buat dahulu.

“Beri perhatian, salinlah jawapan dan ambil nota jika tak faham. Baru kita boleh bagi skor 9.95 kepada “menteri masih belajar”,” sindirnya.

Sindiran terhadap Maszlee itu dibuat berikutan kenyataan menteri pendidikan itu dalam satu wawancara dengan yang mengatakan dirinya ‘masih belajar’ untuk menjadi seorang menteri.

“Saya tidak akan menilai diri saya sebagai seorang menteri dalam tempoh enam bulan ini, tetapi saya menilai diri saya sebagai seorang yang sedang belajar.

“Saya akan memberikan diri saya 9.95 daripada 10,” kata Maszlee.-MY WD