KUANTAN, 21 Sept – Diselamatkan……Seorang awak-awak bot yang terjatuh dari
bot di perairan Pulau Tioman, dekat Rompin pada Khamis lalu, ditemui selamat
namun berada dalam keadaan lemah pada pukul 3.30 petang tadi.

Menurut kenyataan media Markas Wilayah Laut 1, Pangkalan Tentera Laut Diraja
Malaysia (TLDM) Tanjung Gelang di sini malam ini, menyatakan Mohd Saifudin
Mamat, 32, ditemui sekitar 24 batu nautika barat laut Pulau Tioman.

“Mangsa memberitahu beliau telah diselamatkan bot nelayan tempatan pada
pukul 3 pagi, 15 Sept lalu sebelum dipindahkan ke bot nelayan lain pada 16 Sept
dan berada di laut selama lima hari.

“Mangsa dijumpai hasil inisiatif TLDM yang bertanya khabar dengan bot
nelayan di sekitar kawasan pencarian. Mangsa selamat tiba di Pangkalan TLDM
Tanjung Gelang pada pukul 5.15 petang tadi,” tambah kenyataan itu.

Kenyataan itu menambah Mohd Saifudin yang berasal dari Endau, Johor
kemudiannya dihantar ke Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim
(MRSC)Kuantan untuk tindakan lanjut.

Mohd Saifudin dilaporkan terjatuh ke dalam laut ketika rakannya Hairil Azwan
Rahmat, 37, sedang membaiki pukat pada pukul 11 malam, Khamis lalu.

Hairil Azman dikatakan cuba membantu mangsa tetapi tidak berjaya disebabkan
keadaan gelombang yang kuat dan keadaan yang gelap, namun terus mencari mangsa
sehingga pukul 10 pagi Jumaat sebelum membuat laporan polis.

Operasi pencarian dimulakan pada Jumaat lalu di bawah koordinasi MRSC
Kuantan membabitkan agensi seperti TLDM, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia
(APMM) dan Polis Marin. – WD MY

LEAVE A REPLY