KUALA LUMPUR, 14 Mac – The Edge Media Group membuat keputusan
menutup portal beritanya, The Malaysian Insider (TMI), mulai tengah malam ini.

Menurut kenyataan media dalam talian, The Edge Markets, pengarang TMI,
Jahabar Sadiq berkata penutupan itu dibuat atas sebab komersial.

“The Edge Media Group membuat keputusan menutup The Malaysian Insider mulai
tengah malam ini atas sebab komersial. Barangkali, kami mengambil tindakan tepat
dengan keluar daripada talian betul-betul mulai pertengahan Mac,” katanya.

Menurut sumber daripada portal berita itu, satu perjumpaan antara 59 petugas
dan pihak pengurusan TMI akan diadakan di ibu pejabat TMI di Petling Jaya hari
ini.

Sementara itu, terdapat laporan bahawa ketua pegawai eksekutif The Edge
Media Group Ho Kay Tat berkata syarikat itu mengalami kerugian RM10 juta
sepanjang tempoh 20 bulan sejak ia mengambil alih TMI pada Jun 2014.

Pada 25 Feb, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menyekat akses
kepada The Malaysian Insider.

SKMM berkata tindakan itu diambil kerana kandungan portal berita itu
didapati melanggar Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – Sharini Abdulah (WD MY)

LEAVE A REPLY