JOHOR BAHRU, JAN 3: BERSUARA…Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim bertegas akan terus bersuara demi rakyat, biarpun bakal menjadi musuh kepada orang ramai.

Dalam entri di Facebook (FB) rasminya bertajuk ‘Maafkan Saya’, malam tadi, TMJ berkata, beliau hanya mahu yang terbaik buat rakyat, namun sedar cabarannya apabila ada yang tidak suka akan apa yang disuarakannya.

“Saya benar-benar mahukan kerajaan untuk berjaya. Saya bangun setiap hari dengan harapan bahawa pendapat saya salah. Tetapi, mereka tetap membuktikan saya betul. Saya lakukan perkara yang sama dengan kerajaan lama. Dan saya sedang lakukan perkara yang sama pada masa ini. Tiada beza.

“Sekadar mahukan yang terbaik untuk rakyat. Sesetengah mungkin tidak suka apa yang saya katakan tapi itulah cabarannya.

“Untuk terus bersuara demi rakyat yang tidak dapat menyuarakannya. Biarkan saya menjadi musuh anda nombor satu sekiranya perlu. Saya konsisten dan tegas dengan prinsip saya,” tulisnya.

Tunku Ismail meminta supaya semua pihak berhenti berperang antara satu sama lain dan tidak mempolitikkan setiap isu yang timbul.

“Tolong… Tolonglah mulai mentadbir. Tolong berhenti berperang antara satu sama lain, tolong berhenti mempolitikkan setiap isu. Kadang kala saya salah. Semua orang membuat kesilapan. Untuk kesilapan yang saya buat, saya memohon maaf,” katanya.

Dalam entri itu, TMJ turut meminta mengimbas kembali apa yang berlaku pada 2018 dan memohon maaf atas kesilapan yang berlaku.

Katanya, untuk 2019 ini, beliau berharap semua pihak kurang berpolitik dan mempopularkan apa yang ada di media sosial, sebaliknya bekerjasama dan menghormati ruang dan tugas masing-masing.

“Kini sudah 2019, ayuh kita lakukan yang sepatutnya sekarang. Ayuh kita kurangkan berpolitik. Ayuh kita kurang mempopularkan apa yang ada di media sosial.

“Ayuh kita melakukan keputusan yang lebih baik. Ayuh kita bekerjasama dan menghormati ruang dan tugas masing-masing. Ayuh kita berkhidmat kepada rakyat dan melaksanakan yang terbaik untuk negara kita,” katanya.