JOHOR BARU,OKTOBER 2:KUTUK… Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim tidak bersetuju dengan pandangan bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad seorang yang ‘sempurna dalam segala-galanya’.

“Perfectionist? It’s either you’re delusional or obsessed. You were still in your mother’s belly, kid. Do some research (Sempurna dalam segala-galanya? Anda sama ada berkhayal atau terlalu memuja. Anda masih dalam kandungan ibu pada masa itu, budak. Pergi selidik),” catat Tunku Ismail dalam Bahasa Inggeris pada status di laman sosial Twitter rasminya.

Walaupun beliau tidak menyebut sebarang nama, Tunku Ismail dipercayai merujuk status itu kepada kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang menggelarkan Dr Mahathir ‘perfectionist’ dalam muat naik di laman sosial Facebook.

Dalam muat naik itu, Syed Saddiq menepis kritikan bahawa ucapan Perdana Menteri di Perhimpunan Agung PBB baru-baru ini adalah menggunakan skrip dan bukan disediakan oleh Perdana Menteri sendiri.

Mengimbau pengalaman beliau bekerja dengan Dr Mahathir, Syed Saddiq berkata, Dr Mahathir adalah ‘tuan kepada kerjanya sendiri’.

“Beliau menulis ucapan sendiri. Beliau menulis catatan blog sendiri. Beliau juga lakukan banyak kerja penyelidikan sendiri.

“Ia adalah kerana pengalaman, saya rasa dipaksa untuk memberitahu cerita di sebalik kesempurnaan paling terkenal di Malaysia ini iaitu Tun Mahathir yang dikasihi,” tulis Syed Saddiq.

Sementara itu, Syed Saddiq dalam mesej Twitter lewat petang tadi mengulas kenyataan Tunku Mahkota Johor itu berkata: “Ampun Tunku. If we keep on looking backwards, we will never be able to move forward.

Patik will always pray for Tunku’s wellbeing (Ampun Tunku, jika kita hanya memandang ke belakang, kita tidak akan dapat maju. Patik akan sentiasa mendoakan kesejahteraan Tunku).”-MY WD