JOHOR BAHRU, NOVEMBER 12: TMJ….Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim akan mengambil tanggungjawab menjadi sebahagian daripada kempen Tindak Demi Anak Kita (TinDAK).

Perkara itu dinyatakan dalam laman Facebook rasminya HRH Crown Prince of Johor, di sini hari ini.

Tunku Ismail berkata, membaca berita mengenai bayi berusia sembilan bulan yang meninggal dunia dipercayai dirogol, diliwat dan didera merupakan sangat menyakitkan hati dan mengganggu perasaan.

“Saya dan isteri, YM Che Puan Khaleeda sangat prihatin terhadap kebajikan dan kesejahteraan kanak-kanak dari semua peringkat umur kerana kami juga adalah ibu bapa.

“Oleh itu, kami akan mengambil tanggungjawab menjadi sebahagian daripada kempen Tindak Demi Anak Kita (TinDAK) untuk menyokong dan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai penderaan seksual kanak-kanak,” katanya seperti dipetik dari laman Facebook rasminya di sini hari ini:

Tunku Ismail berkata, penderaan seksual kanak-kanak adalah sesuatu yang tidak boleh dianggap ringan.

“Ia adalah perkara yang serius yang perlu ditangani kerana ia  tidak boleh diterima oleh pelbagai peringkat, termasuk agama,” katanya.

Selain itu, Tunku Mahkota Johor memaklumkn keluarganya terutama bondanya Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah, Permaisuri Johor dan adik perempuan, YAM Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Ibrahim telah menzahirkan kebimbangan sebelum ini.

“Dan meneruskan kempen seperti ini dengan harapan dapat membawa kesedaran terhadap perkara seperti ini,” katanya.

Kenyataan tersebut dipercayai merujuk kepada kejadian seorang bayi perempuan berusia sembilan bulan meninggal dunia akibat perbuatan tidak berperikemanusiaan suami kepada pengasuhnya sendiri dalam kejadian di Bandar Baru Bangi, dekat sini.-MY WD