JOHOR BARU, 5 DIS – TANAH KESULTANAN….. Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim memaklumkan Pulau Kukup yang dibatalkan sebagai rizab Taman Negara, akan menjadi Tanah Kesultanan.

Katanya, langkah itu bagi memastikan pulau itu dilindungi lebih baik berikutan perubahan statusnya.

“Pada masa lalu, beberapa taman negara sudah diswastakan. Di Johor, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan (Sultan Ibrahim Sultan Iskandar) mempunyai visi yang berbeza.

“Untuk lebih melindungi semua Taman Negara, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan menetapkan bahawa semua Taman Negara akan diubah menjadi Tanah Kesultanan,” kata Tunku Ismail dalam Twitternya, hari ini.

Tunku Ismail berkata, langkah itu sudah diamalkan di United Kingdom dengan semua Taman Negara milik Institusi Diraja.

“Bagaimanapun, ini tidak mengubah status, dasar dan penggunaan taman itu. Ia akan terus menjadi status Taman Negara,” katanya.

Kebimbangan mengenai Pulau Kukup timbul berikutan warta bertarikh 25 Oktober, memaklumkan bahawa pihak berkuasa negeri akan membatalkan keseluruhan kawasan Pulau Kukup sebagai Taman Negara di bawah Subseksyen 3 (3) Enakmen Alam Sekitar Taman Negara (Johor) 1989.

Terdapat enam taman negara di Johor iaitu Endau-Rompin Peta, Endau-Rompin Selai, Tanjung Piai, Pulau Kukup, Gunung Ledang dan Taman Laut Sultan Iskandar. – WD MY