ISKANDAR PUTERI, 5 SEPT – RASMI…. Johor Darul Ta’zim (JDT) terus mendahului pasukan tempatan lain dan kali ini menerusi perasmian ibu pejabat baharu kelab itu.

Pejabat empat tingkat terletak bersebelahan Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri dan dirasmikan sendiri oleh pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

“Aras bawah menempatkan lobi utama untuk pelawat, skrin mega LED yang bakal menyiarkan detik-detik istimewa JDT dan bilik seminar manakala pelbagai jabatan akan ditempatkan di tingkat satu dan dua.

“Pejabat Tunku Mahkota Ismail terletak di tingkat paling atas. Kesemua pejabat di Ibu Pejabat JDT ini mempunyai pemandangan yang menarik iaitu menghadap Stadium Sultan Ibrahim yang bakal siap tidak lama lagi. Luaskan Kuasamu Johor,” menurut kenyataan yang dikeluarkan Johor Southern Tigers, hari ini.

Pemangku Raja Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) bersama Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin (kiri) selepas majlis perasmian ibu pejabat Kelab Bola Sepak JDT, yang terletak bersebelahan Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri hari ini. – Foto BERNAMA

Bangunan yang dibina di atas tanah seluas 2,200 meter persegi itu bakal menempatkan pejabat pengurusan tertinggi JDT, Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) dan Southern Tigers Sdn Bhd.

Turut hadir pada majlis perasmian itu adalah adalah Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Datuk Azmi Rohani, Presiden PBNJ, Datuk Ismail Karim, dan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin.

Pemangku Raja Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) berkenan melakukan simbolik sentuhan terakhir padang rumput dalam Stadium Sultan Ibrahim yang siap sepenuhnya dipasang ketika melawat ke dalam stadium yang masih dalam pembinaan itu selepas berkenan merasmikan ibu pejabat Kelab Bola Sepak JDT, yang terletak bersebelahan Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri hari ini. Hadir sama Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal (kanan), Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin (kiri), Penyelia Padang JDT Koichi Hiroi (duduk, kanan). – Foto BERNAMA