JOHOR BAHARU, OKTOBER 17: MELIHAT…Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim hari ini mengunjungi pasar awam Larkin, di Johor Baharu, hari ini.

Menulis di laman Facebook rasminya HRH Crown Prince of Johor, titah baginda, kunjungan itu bertujuan mendapatkan gambaran jelas berkenaan peningkatan harga barangan mentah.

“Saya telah melawat ke Pasar Awam Larkin di Johor bagi mendapat gambaran yang lebih jelas berkenaan harga barangan mentah yang semakin meningkat kerana saya ingin lebih memahami apa yang rakyat sedang lalui pada masa ini.

“Saya ingin membuat kajian bagaimana untuk membantu rakyat dengan mengurangkan harga barangan di pasar-pasar seperti telur, ikan, ayam, daging dan sebagainya,” kata baginda.

Tunku Ismail turut melampirkan beberapa keping gambar semasa lawatan itu yang menunjukkan baginda sedang beramah mesra dengan rakyat jelata.

Harga barangan dan perkhidmatan dilaporkan masih tidak turun-turun sejak Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dihapuskan pada 1 Jun lalu.

Pada 1 September lalu, iaitu hari pertama pelaksanaan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), tinjauan yang dilakukan oleh Bernama menyaksikan kebanyakan barangan terutama barangan keperluan tidak mengalami sebarang peningkatan.

Namun menurut laporan berkenaan, masih terlalu awal untuk memperkatakan kesan SST terhadap harga barangan kerana peniaga masih menjual barangan stok lama yang tidak dikenakan cukai GST yang telah dimansuhkan.

Walau bagaimanapun masih ramai yang merungut kerana harga dikatakan terus meningkat.-MY WD