KUALA LUMPUR, 19 Jun – Pengambilalihan projek loji tenaga 3B 1Malaysia Development Bhd (1MDB)
bukan suatu tindakan menyelamat, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Bhd (TNB)
Datuk Seri Ir Azman Mohd.

Beliau berkata 3B merupakan projek loji tenaga baharu, dengan prospektif
yang baik dan akan menambah kapasiti penjanaan 2,000 MW apabila projek itu siap
kelak.

“Berdasarkan analisis kewangan, projek ini dijangka mempunyai impak positif
ke atas pendapatan TNB. Ia bukan untuk menyelamat 1MDB,” kata Azman.

TNB yakin pengambilalihan projek ini akan meningkatkan nilai pemegang saham
dan memberi nilai positif dalam jangka panjang.

Syarikat utiliti itu menerima surat pelawaan rasmi daripada Suruhanjaya
Tenaga untuk menjadi pemaju utama projek untuk membangunkan loji tenaga arang
batu berkapasiti 2×1000 MW di Jimah, Negeri Sembilan, dalam sebuah konsortium
bersama Mitsui Co.Ltd.

“TNB ditawarkan pada paras tarif tidak lebih daripada 26.67 sen setiap kWh.

“Kami jangka akan mengemukakan cadangan berhubung pengambilalihan 70 peratus
kepentingan 1MDB dalam projek ini tidak lama lagi, dengan menimbang antara lain
kos kelewatan projek. tukaran asing yang lebih tinggi berdasarkan situasi semasa
serta pulangan yang TNB jangkakan,” katanya.

Azman juga berkata TNB telah melaksanakan penelitian wajar ke atas projek
itu selain memulakan rundingan dengan 1MDB.

“Kami menegaskan bahawa tiada premium akan dibayar untuk pengambilalihan 70
peratus kepentingan dalam projek ini.

“Sebagai syarikat utiliti tenaga, TNB berminat menyertai sebagai pemaju bagi
memastikan kebolehpercayaan dan jaminan bekalan untuk negara dan pada masa yang
sama memaksimumkan nilai pemegang saham,” katanya.-Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY