KUALA LUMPUR, 8 Mac – AMBIL ALIH…… Syarikat utiliti negara, Tenaga Nasional Bhd (TNB) selesai mengambil alih keseluruhan kepentingan dalam firma teknologi, SHTech, anak syarikat milik penuh Setia Haruman Sdn Bhd (Setia Haruman), membabitkan RM28 juta.

Urus niaga berkenaan dibiayai dana dalaman TNB.

TNB dalam kenyataannya berkata, dengan selesainya pengambilan alih itu, SHTech kini adalah sebuah anak syarikat milik penuh syarikat utiliti itu dan akan meneruskan perniagaan sedia adanya sebagai penyedia perkhidmatan berkaitan teknologi maklumat (IT).

“Ini adalah inisiatif strategik yang diperkenalkan untuk mengukuhkan lagi kedudukan TNB di dalam penawaran perkhidmatan-perkhidmatan strategi dan tambahan.

“TNB merancang untuk meneroka pelbagai perkhidmatan lain seperti Meter Pintar, Rumah Pintar, Bangunan Pintar serta Industri dan Bandar Pintar,” katanya.

SHTech ditubuhkan pada Disember 1999, sebelum ini adalah anak syarikat milik penuh Setia Haruman yang terbabit dalam penyediaan perkhidmatan berkaitan IT.

Modal saham yang diterbitkan oleh SHTech adalah RM1.002 juta yang merangkumi 1.002 juta saham biasa. – WD MY