PEKAN SAGA, 31 MAC – CADANG… Timbalan Presiden Umno Mohamad Hassan berkata pembangkang akan menumpukan usaha untuk mewujudkan sistem dua parti dalam negara yang hanya membolehkan sesebuah gabungan memerintah tidak melebihi tiga penggal.

Mohamad berkata demikian ketika menegaskan perlunya gabungan pembangkang yang kuat dalam sistem dua parti bagi menyemak dan mengimbangi kerajaan PH.

“Dalam negara yang amal sistem dua parti tidak ada satu parti yang akan mentadbir negara lebih daripada tiga penggal, paling banyak dua penggal.

“Ini satu sistem kita cuba bawa, itu sebab kami dalam BN kita cuba untuk mengadakan satu gabungan pembangkang untuk kita memeriksa, semak dan imbang parti kerajaan iaitu PH.

“Kerajaan mesti disemak, selalu lihat dasar yang mereka nak buat, kerana apa yang nak dibuat akhirnya nanti rakyat mesti dapat faedah,” katanya ketika berucap dalam ceramah sulung BN sempena kempen PRK Rantau di Pekan Saga malam tadi.

Mohamad turut mengulas tanggapan yang mengatakan kerjasama Umno PAS akan menyebabkan negara menjadi seperti di bawah pentadbiran Taliban.

Memberi contoh, Mohamad memetik negeri Kelantan yang mempunyai antara patung Buddha terbesar di Asia.

“Kita bukan mula dari sekarang, BN dah tadbir negara sejak 1957, kita tak buat negara ini jadi Taliban.

“Kalau nak kata PAS, PAS sudah tadbir Kelantan sudah lima penggal, 25 tahun. Tak ada Taliban di Kelantan. Orang Cina, India, hidup bebas dan aman damai di Kelantan.

“Bahkan, di Kelantan ada patung Buddha tidur (antara) yang paling besar di Asia. Ini menunjukkan PAS mengamalkan dasar toleransi beragama, berbilang kaum, jadi tidak timbul soal itu tapi dibuat untuk menakutkan rakyat jangan menerima konsep kerjasama ini,” katanya lagi.

Kata Mohamad lagi, kerjasama BN dan PAS bukanlah terhenti dengan kerjasama kedua-dua parti itu semata-mata, tetapi juga akan melibatkan parti komponen BN yang lain.

“Dua hari lepas, PAS punya kepimpinan dah jumpa pula dengan kepimpinan MIC. Begitu juga dengan parti-parti (komponen) lain, kita akan membina satu gabungan parti pembangkang (yang kuat),” katanya. – WD MY