SEREMBAN, 1 APRIL – AMBIL MUDAH…. Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau disifatkan sebagai medan pertempuran penting yang akan menentukan kebangkitan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata kemenangan berturut-turut selama tiga penggal bukan alasan untuk pihaknya berada dalam keadaan selesa dan memandang rendah tiga pencabar lain.

Sebaliknya, beliau berkata, pelbagai kemungkinan boleh berlaku sepanjang tempoh 14 hari berkempen, termasuk peralihan kepercayaan dalam kalangan pengundi yang berisiko menyebabkan kekalahan BN.

“Saya mengatur program setiap malam untuk cuba menemui seramai mungkin pengundi,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Utama BN hari ini.

Ditanya faktor kerajaan negeri ditadbir Pakatan Harapan (PH) turut menjadi pertimbangan pengundi, Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, percaturan sedemikian mungkin bukan satu-satunya sandaran pada hari pengundian 13 April depan.

Beliau berkata, pengundi akan memikirkan keperluan mewujudkan sistem semak dan imbang dalam pentadbiran kerajaan negeri supaya kepentingan serta hak rakyat tidak disisihkan.

“Kita perlu ada pasukan pembangkang yang berprestasi tinggi dan berkesan kerana ketiadaan faktor ini akan menjejaskan usaha meraih manfaat kepada rakyat,” katanya. – WD MY