KOTA KINABALU, 17 NOV – GEMPUR….. Seramai 37 individu, termasuk seorang remaja berusia 15 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah melalui operasi khas, Ops Sarang, yang dilaksanakan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu di sekitar bandar raya ini sejak seminggu lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner, Habibi Majinji berkata keseluruhannya 19 serbuan dilakukan, dengan penumpuan di beberapa lokasi panas yang dikenal pasti sebagai sarang penagihan dadah di sekitar bandar raya ini.

“Selain Pekan Inanam, turut menjadi tumpuan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kota Kinabalu ialah Kampung Likas dan Kampung Lok Buno, yang membawa kepada penahanan kesemua suspek berusia antara 15 hingga 62 tahun itu.

“Daripada 37 individu ditahan itu, 25 suspek adalah warga tempatan, manakala selebihnya adalah warga asing. Keseluruhanya, 13.79 gram dadah jenis syabu turut dirampas sepanjang operasi,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Habibi berkata, seramai 11 individu ditahan atas kesalahan memiliki bahan terlarang itu, manakala 24 lagi ditahan selepas didapati positif dadah dan dua suspek ditahan membabitkan kegiatan pengedaran.

“Kes sedang disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama,” katanya.

Sementara itu, Habibi berkata, usaha membanteras kegiatan pengedaran dan penagihan dadah di lokasi dikenal pasti akan dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

Sehubungan itu katanya, polis menyeru orang ramai membantu menyalurkan maklumat jenayah dadah menerusi Hotline IPD Kota Kinabalu di talian 088-529220, 088-529211 atau WhatsApp ke talian 019-2182729. – WD MY