To’ki Kesal Dituduh Ambil Dadah

0
82

KUALA LUMPUR, 26 Mei – Kesal….. Penyanyi, To’ki atau nama sebenarnya Mohd Zaki Mansur, 50, mengakui hidup susah selepas studio miliknya dirompak kira-kira empat tahun lalu.

Menurut To’ki, beliau bagai hilang punca pendapatan selepas kejadian terbabit.

“Jujurnya, saya memang hidup susah sejak lima tahun lalu. Saya sudah tiada punca pendapatan dan kadang-kadang, saya tiada duit pun untuk membeli beras.

“Jadi, saya kesal apabila ada pihak yang menuduh saya mengambil dadah hanya berdasarkan gambar diri saya, yang dilihat tidak terurus, viral di media sosial, baru-baru ini.

“Sedangkan, saya memang tidak lagi berbuat demikian sejak 18 tahun lalu dan kini bergantung kepada ubat antiketagihan yang berharga RM13 dan perlu diambil setiap hari,” katanya.

Baru-baru ini, gambar penyanyi terbabit yang memperlihatkan dirinya seperti dalam keadaan tidak terurus menjadi viral di media sosial dan mendapat perhatian ramai, sehingga ada yang menuduhnya mengambil najis dadah.

Keadaan itu menyebabkan Yayasan Artis 1Malaysia (YA1M) terpanggil untuk memberikan ruang buat To’ki membuat penjelasan berhubung keadaannya sekarang pada sidang media hari ini.

Presiden YA1M, Datuk DJ Dave, berkata beliau akan cuba mengusulkan cadangan kepada ahli lembaga yayasan berkenaan bagi meringankan beban penyanyi yang popular menerusi lagu Biasan dan Seni Berzaman itu.

“Buat masa ini, YA1M akan memikirkan dulu bentuk bantuan yang boleh dihulurkan kepada To’ki dan ia bukannya dalam bentuk kewangan.

“Sebenarnya, YA1M berperanan menyalur sumbangan kepada anak seni yang sakit atau berdepan kematian, namun To’ki tidak termasuk dalam kriteria itu.

“Namun, kami akan cuba membantu dengan memberikan peluang kepadanya menyanyi pada majlis anjuran YA1M, seawal-awalnya pada Ramadan ini,” katanya yang turut menghulur sumbangan peribadi kepada penyanyi itu. – WD MHY