KUALA LUMPUR, NOVEMBER 8: WANITA… Sejak beberapa hari lalu, foto dikongsi Tomok di laman sosial yang menampakkan dirinya berhias cantik sebagai ‘wanita’, tular lalu mencetuskan tanda tanya apa yang berlaku kepada penyanyi ini.

Namun, tidak sukar menafsir semuanya adalah gimik kepada pelancaran single terbaru berjudul Bekas Kekasih ciptaan Aizat Amdan.

Dalam diam, Tomok merakamkan single itu malah video muzik yang menampilkan Beto Kusyairy, sudah disiapkan kira-kira sebulan lalu.

Tomok atau nama sebenarnya, Shah Indrawan Ismail memberitahu, video muzik arahan Rosli itu mula dimuat naik di YouTube tepat jam 11.09 pagi tadi.

Tambah Tomok, single Bekas Kekasih akan dilancarkan secara digital mulai jam 12 tengah malam ini.

“Ini kali pertama saya berpakaian wanita… Agak janggal dan kekok. Tapi semua itu dibuat demi menghidupkan lagi jalan cerita dalam video muzik ini.

“Malah, idea cerita lahir daripada ilham saya dan diterjemahkan pengarah video muzik ini,” katanya.

Ditanya mengapa perlu ‘drag’ atau berpakaian seperti wanita, Tomok berkata:

“Ia perlu dibuat, bukan sengaja diada-adakan kerana kita mahu memaparkan isu dan realiti semasa,” katanya.

Tomok yang mula dikenali menerusi kumpulan New Boyz berharap peminat dan netizen dapat menonton jalan cerita video muzik itu dari awal hingga akhir.

“Saya harap semua dapat tengok video muzik lagu ini sampai habis,” katanya.

Bekas Kekasih adalah single pertama dipromosikan untuk album terbaru Tomok yang dijangka dipasarkan, tahun depan.

Dalam perkembangan lain, Tomok akan menjayakan konsert bersama Black Hanifah di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) pada 28 November depan.

Konsert Tomok VS Black adalah antara persembahan yang bakal menghangatkan ulang tahun ke-20 Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO).

Tiket menyaksikan konsert Black dan Tomok dijual pada harga RM80 dan RM100. Maklumat lanjut berhubung pembelian tiket boleh didapati dengan melayari mpo.com.my.-MY WD