KUALA LUMPUR, 4 Dis – TAMPIL… Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Barisan Nasional (BN) akan menampilkan lebih ramai calon wanita berwibawa yang mempunyai bakat lengkap dan pengetahuan mendalam dalam politik untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Pengerusi BN itu berkata, beliau sendiri akan menyarankan sedemikian kepada Pengerusi BN yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak supaya bilangan calon wanita yang diperuntukkan pada PRU Ke-13 lalu, ditambah pada PRU akan datang.

“BN akan terus menggalakkan lebih ramai lagi wanita, menjadi calon kami dalam pilihan raya. Begitu juga dengan PRU akan datang yang semakin hampir ini.

“Pastinya, lebih ramai calon wanita akan mewakili BN dalam PRU Ke-14, berbanding pada pilihan raya sebelumnya. Saya adalah orang begitu percaya wanita boleh melakukan, jika mereka diberi kepercayaan atau tugasan,” katanya.

Beliau berkata demikian berucap menutup Persidangan antarabangsa ‘Women in politics Kuala Lumpur 2017 (WIPKL 2017) di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

Pada majlis sama, Ahmad Zahid turut menerima satu resolusi daripada WIPKL 2017 yang diserahkan sendiri Pengerusi WIPKL 2017, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.

Berbekalkan komitmen dan rekod dicapai wanita dalam pelbagai bidang, beliau juga menjelaskan akan berbincang dengan Najib supaya dalam Bajet 2018, peruntukan lebih banyak akan diberi kepada wanita.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, di bawah prinsip demokrasi, wanita perlu mendapatkan hak yang sewajarnya untuk mengecapi dan membina kejayaan sendiri dalam bidang diceburi.

Beliau berkata, bidang politik, perniagaan, media, teknologi, budaya, dan sains tidak boleh hanya dikhaskan untuk satu jantina, apatah lagi jika satu-satu negara itu mahu supaya masyarakatnya bergerak maju.

“Kami sudah menyediakan pelbagai inisiatif untuk melihat penyertaan wanita yang lebih besar dalam sektor awam dan swasta,” katanya.

Berkongsi Laporan Pemantauan Keusahawanan Global (GEM) 2016/2017 yang dikeluarkan baru-baru ini, Malaysia kata beliau berjaya menduduki tempat keempat dari segi kesaksamaan jantina sebagai usahawan.

“Laporan itu menunjukkan Malaysia hanya berada di belakang Brazil, Mexico, dan Indonesia. Apa maksudnya? Ini bermakna, bilangan usahawan wanita di Malaysia, sudah mengejar usahawan lelaki,” katanya.

Dalam sektor awam, Ahmad Zahid berkata Malaysia sudah mencapai sasaran 30 peratus wanita diperingkat pembuat keputusan.

“Pencapaian sebenar adalah 35.8 peratus, sementara dalam sektor korporat, wanita kami mencapai 29.9 peratus,” katanya sambil mahu 0.01 peratus lagi bagi melengkapkan sasaran 30 peratus wanita dalam sektor swasta dicapai segera. – WD MY