KUALA LUMPUR, 14 MAC – E!…… Syarikat gergasi Media Prima Berhad (MPB) melalui platform digital dan TV3 membawakan saluran popular Hollywood, E! bagi menarik perhatian penonton dalam kalangan generasi muda (Gen Y).

Saluran E! Media Prima TV Networks yang memaparkan kandungan hiburan, gaya hidup dan fesyen antarabangsa, akan lebih memfokuskan kepada kandungan tempatan selain berita dalam E! News.

Pengarah Jualan dan Strategi Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Nini Yusof berkata, kerjasama dengan E! dibuat bagi memberi pembaharuan dan elemen segar kepada saluran digital, YouTube TV3 Malaysia.

“TV3 adalah stesen televisyen (TV) nombor satu di Malaysia, jadi sasaran kita hendak menarik minat individu yang suka menonton TV, pelayar digital dan masyarakat yang menggemari kedua-dua saluran.

“Disebabkan itu, saluran ini hanya disiarkan selama 10 minit di YouTube dan dua minit di TV3.

“Ini kerana ada kandungan yang tidak sesuai disiarkan di TV, kita akan pertontonkan di saluran digital.

“Siaran dua minit di TV lebih kepada menepati piawaian Lembaga Penapisan Filem (LPF) berbanding platform digital,” katanya pada majlis pelancaran E! Media Prima TV Networks malam tadi.

Majlis pelancaran inisiatif digital baharu itu disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Johan Ishak dan Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios, Datuk Ahmad Izham Omar.

Sebanyak 12 episod E! News bakal disiarkan merangkumi segmen kecantikan dan fesyen pada setiap Isnin diikuti gaya hidup dan teknologi setiap Khamis.

Nini berkata, pihaknya memeterai perjanjian dengan pembekal kandungan asal E! untuk lebih memaparkan kandungan tempatan sebanyak 60 peratus, manakala selebihnya adalah kandungan asal saluran itu.

“Saluran ini dipilih kerana dulu orang suka tengok TV, tetapi sekarang lebih kepada digital. Ini adalah apa yang khalayak hendak tonton. Disebabkan itulah sasaran kita adalah Gen Y,” katanya.

Bukan mahu mengejar rating, sebaliknya, tambah Nini, susunan kandungan yang ada dalam E! dilihat mampu menjana pendapatan dengan kemasukan ramai pelanggan.

“Kalau dibandingkan dengan stesen TV berbayar, kita lebih mendapat kelebihan penonton.

“Sebab itu kita bawa masuk saluran ini untuk memberi kelainan kepada stesen TV3. Kita tidak boleh terlalu mengikut rentak E! kerana cara kita lebih menekankan kepada budaya timur.

“Daripada segi pengacara, kita cuba memperkenalkan muka baharu sesuai dengan sasaran kita.

“Kita juga cuba membawa ramai pengacara jemputan bagi mewarnai program ini agar tampak menarik. Kalau dibandingkan dengan E! Asia, ia terlalu lama, tetapi kita lebih fokus kepada industri di Malaysia,” katanya.

Hos yang akan mengendalikan E! News adalah Aaron Al Fateh, Chrystina Ng dan Tasha Aleai. – WD MY