KUALA LUMPUR, OKTOBER 10: TAHNIAH…Ke hadapan Lembaga Pengarah MMC-Gamuda, saya ucap tahniah untuk sebuah persembahan yang hebat sejak Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengumumkan keputusan kabinet untuk:

(i) menerima tawaran MMC-Gamuda untuk mengurangkan kos kerja-kerja atas tanah MRT2 sebanyak RM5.2 bilion, menjadikkannya RM17.4 bilion (pengurangan sebanyak 23%) dalam bentuk kontrak ‘turnkey’, dan

(ii) menamatkan kontrak kerja bawah tanah memandangkan kedua-dua pihak tidak dapat menemui kata sepakat berkenaan pengurangan harga.

Tetuan telah mengeluarkan surat mengisytiharkan tidak bersalah, mendakwa bahawa anda menanti tawaran daripada Kementerian Kewangan.

Anda mempersoalkan kelayakan konsultan kejuruteraan bebas yang kami lantik. Anda mengandaikan bahawa keputusan penamatan dibuat secara tergesa-gesa dan tanpa pertimbangan yang sewajarnya.

Anda cuba untuk meraih simpati, mendakwa tidak kurang 20,000 individu akan kehilangan kerja (wow!).

Kempen selamatkan pekerjaan

Media sosial anda dengan aktif sekali mempromosi kempen ‘selamatkan 20,000 pekerjaan’ merayu rakyat Malaysia menyokong petisyen anda.

Ada surat yang tular di Whatsapp daripada jurutera graduan kelas pertama yang menyesal mengundi Pakatan Harapan dalam pilihanraya lalu.

Prestasi dan mobilisasi kempen ini sangat mengkagumkan. Persoalan kos projek ini kepada pihak kerajaan langsung tidak dipedulikan.

Kami tidak mahu bertikam lidah dengan anda di mata umum. Biasanya itu dikhaskan hanya untuk lawan-lawan politik sahaja. Apatah lagi, kami ingin meneruskan hubungan kerja yang baik bagi menyiapkan kerja-kerja atas tanah bernilai RM17.42 bilion itu.

Namun, tindakan berani tuan-tuan untuk berlagak sebagai mangsa kerajaan ‘zalim’ Pakatan Harapan menuntut supaya suatu jawapan diberikan bagi membetulkan fakta dan rekod.-MY WD