KUALA LUMPUR, MAC 22:TOYOTA…UMW Toyota Motor (UMWT) secara rasmi memperkenalkan model crossover kompak yang dinanti-nantikan, Toyota C-HR serba baharu di pasaran tempatan.

Toyota C-HR ditawarkan pada harga atas jalan tanpa insurans RM145,500.

Presidennya, K Ravindran, berkata pengenalan model berkenaan serentak dengan majlis penyerahan 50 unit Toyota C-HR kepada pemiliknya terawalnya yang berlangsung di Taman Teknologi Malaysia, dekat sini, hari ini.

“Sejak mula dipertontonkan tahun lalu, minat yang ditunjukkan terhadap C-HR sangat menggalakkan. Setakat ini, kami menerima kira-kira 1,500 tempahan dan disebabkan ia adalah model yang begitu unik dan bermakna, kami ingin ambil kesempatan untuk menyerahkannya sendiri kepada 50 pemilik terawal kami,” katanya.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Ketua Jurutera Toyota C-HR, Takatomo Suzuki.

Ravindran berkata, Toyota sentiasa berterima kasih di atas sokongan yang diberikan oleh pelanggan.

“Untuk itu, kami juga ingin memastikan pengalaman pemilikan yang terbaik buat semua, dengan servis dan penyelenggaraan dilakukan oleh juruteknik terlatih khusus untuk model C-HR, dan stok alat ganti yang tersedia sepanjang masa, sekiranya diperlukan.

“Selain itu, dengan model yang dibeli hanya dari UMW Toyota Motor dan pengedar sahnya akan menikmati jaminan lima tahun tanpa had perbatuan,” tambahnya.

Sejak pengenalan di peringkat global, Toyota C-HR serba baharu menerima sambutan hangat di semua pasaran di mana ia telah dilancarkan.

Selain penampilan yang unik dan menarik, model ini menggunakan platform Toyota New Global Architecture (TNGA) yang kini banyak digunakan pada model baharu Toyota.

Bagi pasaran Malaysia, C-HR diperkenalkan hanya dalam satu varian, iaitu dengan enjin 1.8 liter petrol yang digandingkan bersama transmisi Sequential Shiftmatic CVT 7-kelajuan.

Ciri keselamatannya termasuk ABS sebagai standard, Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC), Kawalan Cengkaman (TRC) dan Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA) serta Sistem Pemantauan Titik Buta (BSM).

C-HR juga dilengkapi ciri Brek Parkir Elektrik dan Kawalan Bantuan Mula Mendaki (HAC) untuk mengelakkannya daripada mengundur ketika mula bergerak di permukaan curam.

Rekaan dalaman C-HR menampilkan konsep yang sama sekali berbeza berbanding model Toyota yang sebelumnya; ia menggabungkan penggayaan moden dengan fungsi termaju.

Bahagian pemandu menerapkan perincian inovatif dan teknologi intuitif dengan meter Optitron 4.2-inci berwarna dengan Paparan Pelbagai Maklumat (MID).

Bagi yang gemar memandu, turut tersedia ialah ciri G-monitor yang akan memaparkan kadar daya-G ketika kenderaan berada dalam selekoh, memecut dan mengurangkan kelajuan.

Sementara itu, Ravindran menjelaskan Toyota GAZOO Racing (TGR) Racing Festival dan Vios Challenge menerima sambutan hangat di tiga lokasi sebelum ini; Batu Kawan di Pulau Pinang, MAEPS Serdang dan Medini City, Johor.

Pusingan terakhir dan kemuncaknya akan berlangsung di Taman Teknologi Malaysia, Bukit Jalil hujung minggu ini (24 & 25 Mac).

“UMW Toyota Motor amat berbesar hati kerana dapat menganjurkan acara yang cukup menarik ini. Dari sambutan yang diterima pada setiap pusingan, kami sangat terpanggil untuk meneruskan penganjuran musim keduanya nanti.

“Perancangan untuk itu sudah pun dilakukan, dan ia akan bermula pada separuh kedua tahun ini. Kami sangat berterima kasih kepada semua penaja di atas sokongan mereka dan berharap akan dapat meneruskan kerjasama ini bagi musim kedua pula,” jelas Ravindran. – MY WD