BAGAN DATUK, 27 Jan – ARAHKAN…. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat projek pembinaan bangunan Dewan Terbuka Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hutan Melintang yang dirasmikannya.

Ahmad Zahid nyata tidak berpuas hati terhadap spesifikasi yang dilihat mempunyai banyak kekurangan berbanding kos RM600,000 diberikan menerusi peruntukan Jabatan Perdana Menteri.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, mengarahkan semua Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) serta agensi pelaksana peringkat negeri dan Persekutuan memantau projek dilaksanakan.

“Laporkan kepada SPRM jika berlaku kekurangan supaya tindakan boleh diambil terhadap pihak yang melakukan penyelewengan, walaupun wakil rakyat BN sendiri yang melakukan kesalahan itu,” kata Beliau.

Sebagai Ahli Parlimen Bagan Datuk berikutan spesifikasi yang mempunyai terlalu banyak kekurangan berbanding kos pembinaan RM600,000 menggunakan peruntukan Jabatan Perdana Menteri (JPM).

“Mentang-mentang kita orang kampung, jangan kita direndah-rendahkan, dengan mata kasar pun kita tahu.

“Saya tak mahu rakyat katakan ahli parlimen ambil duit, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) ambil duit, kita tidak akan berkompromi.

“Jangan main-main dengan saya. Walaupun saya duduk di atas tetapi saya tetap berpijak di bumi Bagan Datuk. Saya tak boleh terima, rakyat Bagan Datuk tak boleh terima.

“Siapa agensi pelaksana, kontraktor jangan main-main. Kalau RM600,000 mesti RM600,000 nilainya, Jangan tuntut (claim) RM600,000 tetapi nilai sebenar ialah RM300,000,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat projek pembinaan bangunan terbabit.

“Saya tak puas hati RM600,000 macam ini dewannya. Saya nak SPRM siasat kenapa jadi macam ini, kalau ada penyelewengan ambil tindakan kepada kontraktor, perunding dan JD (jurutera daerah) jika terbukti ada kesalahan,” katanya.

Pembinaan dewan terbuka yang dinamakan Balai Utama SMK Hutan Melintang itu diluluskan pada 25 September 2015. Ia mula dibina Mac tahun lalu dan siap pada 31 Disember lalu.

Ahmad Zahid memberi tempoh tiga bulan dan mengarahkan bangunan berkenaan dipertingkatkan termasuk ruang dipanjangkan, berdinding penuh dan lantai dipasang jubin.

Timbalan Perdana Menteri memberi peringatan akan kembali membuat lawatan mengejut demi menjaga kepentingan rakyat, khususnya di kawasan parlimennya.

Beliau turut menyentuh masalah di Sekolah Menengah Khir Johari di sini yang menerima peruntukan dan tarikh kelulusan sama, namun tidak siap hingga kini.

“Kontraktor yang dilantik menghantar simen dua kampit sehari dan projek tidak dapat disiapkan hingga terpaksa dibatalkan kontraktor itu.

“Projek ini bukan besar atau sukar sangat. Jangan berbohong dan saya tidak mahu lagi tuduhan wakil rakyat atau kerajaan adalah ‘Little Napoleon’,” katanya.

Bercakap pada sidang media kemudian, Ahmad Zahid menyatakan akan memantau semua projek di parlimennya.

Beliau juga mengarahkan semua Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) serta agensi pelaksana peringkat negeri dan Persekutuan memantau projek di seluruh negara dan melaporkan kepada SPRM jika mengesan penyelewengan.

“Saya tidak mahu rakyat menjadi mangsa,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, semua pihak termasuk wakil rakyat bertanggungjawab terhadap peruntukan diberikan dan perlu memantau projek di kawasan masing-masing.

“Kalau mereka melakukan penyelewengan, tindakan akan diambil. Kita tidak boleh berkompromi dalam soal penyelewengan dan ketirisan,” katanya. – WD MY