BAGAN DATUK, 3 Feb – BERTEMU….. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini bersarapan bersama-sama penduduk setempat apabila pulang ke kawasan yang diwakilinya.

Ahmad Zahid yang juga Anggota Parlimen Bagan Datuk bersarapan bersama penduduk setempat di Warong Kopi Atan Deris milik Mohd Kamal Idris, 42, di Jeti Hutan Melintang di sini.

Selepas disambut pemilik kedai dan kira-kira 100 penduduk setempat kira-kira 9.30 pagi, Ahmad Zahid meluangkan masa masa kira-kira 30 minit untuk menikmati juadah sarapan sambil beramah mesra dengan mereka.

Antara menu yang dihidangkan ialah roti canai, roti canai sardin, nasi lemak, kuih-muih serta teh tarik.

Selesai bersarapan, Ahmad Zahid kemudian merasmikan Chalet Tok Cardeen yang terletak di sebelah warung berkenaan.

 

Beliau turut meluangkan masa melihat persekitaran Jeti Hutan Melintang dan bersetuju dengan permohonan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) untuk menaik taraf jeti berkenaan dengan peruntukan sebanyak RM280,000. – WD MY