GEORGETOWN, 4 Feb – RAMPAS…. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mahu Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang melipatgandakan usaha untuk merampas kembali pentadbiran kerajaan negeri pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Pengerusi BN Negeri, Teng Chang Yeow, berkata Ahmad Zahid mahu parti itu bekerja keras dan memberi tumpuan kepada PRU-14, yang disifatkan antara yang tersengit dalam sejarah negara.

“Beliau juga berpuas hati dengan jentera dan gerak kerja BN Pulau Pinang setakat ini. Beliau mahu kami bekerja habis-habisan.

“Apa pun, kita akan pastikan usaha ini berbaloi dan mampu sekurang-kurangnya menambah kerusi di Pulau Pinang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, Ahmad Zahid mengadakan pertemuan tertutup selama 30 minit bersama 2,000 jentera BN Pulau Pinang di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Permatang Pauh, dekat sini, petang tadi.

Mengulas lanjut, Chang Yeow berkata, senarai calon BN Pulau Pinang juga masih belum dimuktamadkan.

“Belum ada kata putus. Zahid mahu semua usaha ditumpukan pada gerak kerja sahaja,” katanya.

Pada PRU-13, BN negeri hanya memenangi 10 daripada 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan tiga kerusi di peringkat Parlimen. – WD MY