TPM Ahmad Zahid Gesa Tiga Anggota Rela Lapor SPRM

0
218

KUALA LUMPUR 31 Okt. – LAPOR…. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menggesa tiga anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) untuk membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berikutan disogok untuk menarik laporan polis terhadap ‘Datuk Seri’ yang bertindak memukul mereka di sebuah Tokong di Kampung Baru Ampang, baru-baru ini.

Ahmad Zahid berkata kesemua anggota berkenaan perlu membuat dua laporan berbeza terhadap Datuk Seri terbabit supaya siasatan rapi dapat dibuat oleh agensi berkaitan.

“Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyokong supaya siasatan dibuat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan SPRM kerana Datuk Seri itu melakukan dua kesalahan berbeza iaitu mencederakan dan menyogok.

“Apabila seseorang menerima anugerah tinggi dalam usia muda, dia harus mengetahui status sosialnya,” kata beliau dalam sidang akhbar selepas merasmikan Kongres Kerangka Standard Bahasa Melayu di sini hari ini.

Terdahulu, kongres yang bertemakan Standard Bahasa Melayu Teras Penyertaan Bahasa Melayu itu dibangunkan bagi menghasilkan standard bahasa untuk diguna pakai dalam semua bidang seperti pendidikan, pekerjaan, orang awam mahu pun persendirian.

Dalam perkembangan lain, ketika ditanya tentang laporan media Singapura berkenaan dua ustaz Malaysia dihalang memasuki negara itu, Ahmad Zahid berkata, pihaknya berpuas hati dengan kedua-dua tokoh terbabit namun tidak mempertikaikan keputusan negara jiran. – WD MY