PAPAR, 23 Mac – RAMAH MESRA…. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menghadiri Majlis Ramah Mesra bersama penduduk papar di Masjid Jamek As-Salam Kampung Benoni hari ini.

Ahmad Zahid yang diiringi Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman tiba pada pukul 6.25 petang disambut Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Manis Datuk Abdul Rahim Ismail yang juga Ketua UMNO Bahagian Papar.

Pada majlis itu, Ahmad Zahid turut menjadi imam memimpin solat Maghrib di masjid tersebut dan menyampaikan tazkirah.

Dalam tazkirah itu, Ahmad Zahid menyeru agar umat Islam di negara ini terus bersatu untuk mengelakkan perpecahan.

“Walaupun kita berlainan pendapat namun kita tidak boleh berpecah..sekali kita berpecah sukar untuk kita bersama lagi,” katanya.

 

Beliau berkata umat Islam perlu bersatu untuk menentang pihak luar yang cuba untuk menanam bibit perpecahan di negara ini.

“Kita perlu lihat sejarah…kita perlu lihat di negara lain yang pernah berlaku perpecahan, kita tidak mahu negara kita menjadi seperti itu,” katanya. – WD MY