KUALA LUMPUR, 5 Dis – JENTERA PENERANGAN….. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan jentera penerangan UMNO menggunakan pendekatan baharu dan pelbagai untuk menangkis fitnah disebarkan pembangkang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Ahmad Zahid berkata, di samping mengekalkan pendekatan konvensional seperti bersemuka dengan pengundi dan ceramah berkumpulan, jentera UMNO juga perlu mengeksploitasi sepenuhnya media sosial untuk mematahkan serangan fitnah pembangkang.

Katanya, kegagalan jentera penerangan menangkis dan menjawab dengan cepat fitnah serta berita palsu pembangkang terutama pada hari terakhir berkempen menggunakan pelbagai pendekatan menyebabkan UMNO hampir ‘terjelepuk’ dalam tiga PRU sebelum ini.

“Kita harus mempunyai pendekatan pelbagai bentuk untuk berkomunikasi. Jangan gunakan acuan yang sama untuk kumpulan berbeza.

“Sistem komunikasi hari ini sudah berubah. Di samping mengekalkan pendekatan konvensional dengan bersemuka, kita gunakan media sosial, minta rakan kita rakam dan sebarkan kepada khalayak lain.

“Kita juga perlu melaksanakan tindakan awalan bagi mendepani serangan fitnah dan perangkap pembangkang,” katanya ketika merasmikan Konvensyen Penerangan dan Media, Istiqamah Dalam Perjuangan sempena Perhimpunan Agung UMNO 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

Ahmad Zahid merujuk kepada fitnah pembangkang pada PRU-11 yang mendakwa Barisan Nasional (BN) akan memutus bekalan elektrik semasa undi dikira bagi menipu kiraan dan pada PRU-12, pembangkang menyebar cerita BN sudah tahu akan tewas dan tidak memerlukan undi.

Pada PRU-13 pula, katanya, pembangkang menyebar cerita BN membawa masuk lebih 40,000 warga Bangladesh untuk menjadi pengundi.

“Kalau kita tidak bersedia untuk menjawab dan menangkis fitnah pembangkang ini pada PRU-14 nanti, kita perlu menanggung akibatnya,” katanya.

Beliau selaku Naib Presiden yang menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO turut meminta pemimpin dan ahli tidak mensabotaj parti atau calon pada PRU akan datang.

“Saya tahu perkara ini berlaku. Ada sahabat kita yang kecewa kerana tidak dipilih menjadi calon, dia sabotaj. Ini berlaku di banyak kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Wahai ahli UMNO, cukuplah. Cukuplah. Cukuplah (jangan sabotaj). Jangan terjelepuk kali ketiga. Kita bangkitlah,” katanya.

Beliau berkata, jentera UMNO juga perlu memastikan setiap pengundi di Pusat Daerah Mengundi (PDM), terutama ahli parti dan komponen untuk keluar mengundi pada hari pengundian.

“Pada hari mengundi kita harus pastikan ‘get out the voters’ (GOTV). Segala usaha kita selama ini tidak akan berhasil kalau kita tidak dapat GOTV,” katanya. – WD MY