KUALA LUMPUR, 9 Dis – IKRAR….. ¬†Perwakilan yang menghadiri Perhimpunan Agung Umno 2017 semalam melafazkan ikrar untuk terus setia kepada parti dan kepimpinan Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ikrar tersebut dipimpin oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang kini menjalankan tugas Timbalan Presiden ketika ucapan penggulungannya.

“Sesungguhnya kami, ahli Umno berjanji untuk setia kepada presiden dan seluruh kepemimpinan parti.

“Berjuang sepenuh hati, kuat sepadu tegak berdiri dalam barisan kukuh terkunci,” antara intipati laungan ikrar yang bergema di Dewan Merdeka, PWTC.

Selain itu, ikrar juga mengandungi lafaz agar ahli berjuang untuk menang besar dengan majoriti dua pertiga dalam PRU14.

Sebelum itu, Ahmad Zahid dalam ucapannya berkata, adalah penting untuk Umno bergerak sebagai satu pasukan.

“Bergeraklah dengan penuh keyakinan, kerana kita berada di landasan yang betul. Bertarunglah dengan semangat juang dan tekad yang tinggi, bahawa kita telah berusaha dan merancang.

“Saya tidak mahu ada rajuk-merajuk dan tersentap hati. Berilah sokongan padu kepada kepada sesiapa saja yang terpilih sebagai calon. Jadilah seorang pengikut yang baik, kerana pemimpin yang baik bermula dari pengikut yang baik,” katanya. – WD MY