KUALA LUMPUR, 5 Dis – LANCAR….. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, melancarkan Skuad Penerangan Anak Muda (SPAM) pada Majlis Makan Tengah Hari Bersama Wanita, Puteri dan Pemuda, di Pusat Dagangan Dunia Putra.

SPAM yang dianggotai pemidato, penyampai risalah, penceramah agama dan pengendali media sosial, berperanan memberi penjelasan dan berdialog dengan generasi muda berhubung isu semasa.

Skuad yang ditubuhkan dua minggu lalu itu ketika ini sudah bergerak mendekati generasi muda di peringkat negeri dan bahagian.

Pada majlis itu, Timbalan Perdana Menteri, yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) turut menyampaikan 13 anugerah Ibu Terbaik Bangsa kepada ibu tunggal, yang juga ahli Wanita.

Beliau turut menyampaikan lima sumbangan motosikal di bawah Program Mobile Entreprenuer kepada usahawan perniagaan atas talian, yang juga ahli Puteri.

Di samping itu, Ahmad Zahid menyampaikan Skim Khairat Kematian berjumlah RM20,000 kepada 16 waris ahli Pemuda yang meninggal dunia.

Hadir sama, Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Jalil; Ketua Puteri, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dan Timbalan Pengerusi Pemuda BN, Khairul Azwan Harun.

Sementara itu, Mas Ermieyati, berkata sumbangan motosikal adalah simbolik kepada ahli Puteri untuk meningkatkan taraf hidup dan ekonomi keluarga mereka.

“Sumbangan ini hanya simbolik sumbangan kepada ahli Puteri untuk memajukan diri dan pengangkutan mencari rezeki.

“Hari ini, kebanyakan wanita sangat sibuk dan mereka (tukang jahit) akan datang ke rumah untuk mengambil ukuran baju dan menjalankan perniagaan,” katanya.

Sehubungan itu, Mas Ermieyati mengajak ahli Puteri yang berminat supaya mengemukakan permohonan kepada Ketua Puteri Negeri atau Bahagian masing-masing.

Seorang penerima, Farrahwahida Mohamad Saaid, 27, gembira menerima sumbangan kali pertama yang dilihat mampu mengubah konsep perniagaan keluarganya.

“Ibu saya sudah 29 tahun dalam bidang jahitan tetapi beliau membuat perniagaan di rumah dan kedai sahaja.

“Ketika ini, saya usahakan kedai jahitan dengan ibu. Dengan bantuan ini, saya boleh mulakan konsep jahitan dari rumah ke rumah selain memudahkan saya menjalankan urusan lain,” katanya. – WD MY