KUALA NERUS, 25 Ogos – LAWAT…..Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengakhiri lawatan kerja seharinya di Terengganu dengan mengunjungi Pusat Rehabilitasi 1 Malaysia Seberang Takir di sini.

Beliau meluangkan masa selama 20 minit untuk melihat latihan pemulihan yang dilakukan empat pesakit di pusat rehabilitasi itu serta meninjau kelengkapan peralatan yang disediakan di situ.

Ahmad Zahid yang berbaju Melayu berwarna merah kelihatan ceria bertanyakan khabar pesakit serta jenis rawatan pemulihan yang sedang mereka jalani.

Beliau diberi penerangan mengenai rawatan pemulihan yang disediakan oleh Pakar Rehabilitasi di pusat itu, Dr Nor Aida Musa dan Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Mohammad Omar.

Turut mengiringi timbalan perdana menteri ialah Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh yang merupakan Ketua UMNO Bahagian Besut dan Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu, Datuk Muhammad Pehimi Yusof. – WD MY