KUALA LUMPUR, 10 Mac — PERSEPSI….. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) meningkatkan peranannya membantu polis mengurangkan jenayah, seterusnya meningkatkan persepsi dan keyakinan masyarakat terhadap tahap keselamatan di negara ini.

Katanya walaupun kadar jenayah secara keseluruhannya menurun terutamanya jenayah berat, persepsi masyarakat masih belum meningkat disebabkan oleh jenayah-jenayah kecil.

“Kita tahu tidak ada negara yang bebas secara mutlak daripada segi jenayah, namun MCPF bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah memperlihatkan pencapaian cukup baik (dalam mengurangkan kadar jenayah) dan kita amat mengharapkan kerja keras PDRM dapat didokong oleh kita (MCPF).

Bukan hanya dari sudut pendidikan yang akhirnya memberikan keberhasilan untuk mencegah dan mengurangkan kadar jenayah tetapi kita mahu MCPF di peringkat nasional, di peringkat negeri dan di peringkat daerah akan terus menjadi satu lagi pihak untuk membantu PDRM,” katanya semasa berucap merasmikan mesyuarat agung tahunan MCPF kali ke-25 hari ini.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri merangkap Pengerusi MCPF, mempengerusikan mesyuarat itu.

Tambah Ahmad Zahid berkata bagi meningkatkan peranannya, MCPF perlu mewujudkan kepolisan masyarakat di setiap daerah dan kawasan perumahan, sekali gus menjadi ‘mata dan telinga’ menyampaikan maklumat kepada pihak polis.

Beliau berkata, kepolisan masyarakat yang disifatkannya amat berkesan mengurangkan kadar jenayah, cukup popular di kejiranan masyarakat Cina, namun inisiatif itu masih kurang dilaksanakan di kawasan kejiranan Melayu dan India.

“Oleh yang demikian, dengan semangat 1Malaysia, kita harap bukan sahaja di kawasan perumahan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak tetapi kita berharap di semua rumah-rumah panjang ada kepolisan masyarakat yang akan dibentuk,” katanya.

Ahmad Zahid berkata kaedah kepolisan masyarakat juga dapat menjadi jambatan yang menghubungkan masyarakat dengan PDRM untuk bekerjasama mengurangkan kadar jenayah. – WD MY