DUNGUN, 14 Okt – ZIARAH…..Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengaminkan doa ketika melawat balu kepada anggota polis yang terkorban dalam kemalangan jalanraya Allahyarham Abdul Hakim Samingan di Kampung Darat, Rajawali, Dungun hari ini.

Perjalanan konvoi polis yang panjang memerlukan ‘interval’ atau berhenti di tempat dan waktu yang sepatutnya bagi mengelak keletihan serta kemalangan jalan raya.

“Saya berharap polis trafik prihatin mengenai perkara ini supaya kemalangan membabitkan anggota dan pegawai konvoi tidak berlaku lagi pada masa depan.

“Sebagai seorang yang terbabit dalam aktiviti permotoran, saya harap SOP ini diubah supaya perjalanan konvoi yang panjang diberi ‘interval’ untuk mengelak kejadian sama berulang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menziarahi keluarga Allahyarham Sarjan Mejar Abdul Hakim Samingan, 54, yang terkorban dalam nahas ketika mengikuti konvoi Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) menunggang jarak jauh motosikal berat Khamis lalu, di Kampung Darat, Rajawali, di sini, hari ini.

Turut terkorban dalam kemalangan kira-kira jam 2.55 petang di Kilometer 139, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan dekat Teluk Kalong, di sini, ialah rakan setugas Allahyarham, mendiang Koperal I Suresh, 34.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, walaupun disiplin konvoi polis tinggi, kelalaian pengguna jalan raya lain yang tidak peka dengan kehadiran konvoi menyebabkan punca kemalangan.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, kebajikan keluarga anggota dan pegawai polis yang meninggal dunia atau terkorban dalam kemalangan ketika bertugas akan menjadi keutamaan kerajaan.

“Saya mengucapkan takziah dan simpati kepada keluarga kedua-dua mangsa. Saya berharap mereka reda dan sabar menghadapi ujian ini. Semoga tugas mereka menjadi ibadah.

“Kita beri jaminan kebajikan keluarga anggota dan pegawai polis yang meninggal dunia ketika bertugas diberi keutamaan,” katanya. – WD MY